WaktuSolat.My

Buatlah Apa Saja Asalkan Jangan Tinggalkan Tuhan

Buatlah Apa Saja Asalkan Jangan Tinggalkan Tuhan

Buatlah Apa Saja Asalkan Jangan Tinggalkan Tuhan

Ini kisah hidup yang dulu.

Setelah beberapa bulan diberhentikan kerja, saya memang buntu yang amat. Lepas subuh je tidur sebab malas nak menghadap dunia.

Sudahlah menumpang rumah keluarga ipar, lagilah saya segan. Duduk dalam bilik saja.

Bangun malam, bercakap-cakap dengan Allah. Meluahkan semua. Memohon kekuatan. Itu saja yang selalu menjadi ubat.

Habis solat, sedang duduk-duduk saya selalu berkata begini,

"Wahai Allah, lorongkan rezeki buat aku. Kalaulah bukan sebab aku, Kau pandanglah kerana aku ada anak dan isteri. Aku malu jadi lelaki yang tidak bertanggungjawab. Engkau bagilah aku pekerjaan ya Allah".

Dengan penuh harap, penuh kerendahan hati, mengalir airmata mengharapkan semua ni.

Saya tak sanggup dah berbulan duduk menumpang, tidak bekerja, dan bermuram saja.

Satu hari, saya dapat panggilan.

"Encik ada buat grab ke?"

Eh? Salah nombor kot ni. Tapi memikirkan tengah tiada kerja ni tiba-tiba ada kerja. Saya pun kata boleh lah.

"Ya saya. Tapi saya bukan grab apps tu. Cuma cover sekitar Rawang saja"

"Ya. Saya nak ke pekan rawang beli barang dapur. Jap lagi saya bagi alamat"

Saya ambil puan ini di rumah, hantar ke pasar, tunggu dan selesai hantar pulang ke rumah balik. Dia hulur RM50 dan beberapa biji buah limau.

"Banyak ni puan"

"Takpe. Awak dah tolong saya ni. Baguslah ada servis macam ni. Kawan-kawan saya tak pandai pakai apps apa grab tu. Kadang nak ke pekan, kedai tapi kami ni susah. Ada kawan yang suami memang sibuk. Ada yang suami dah tiada. Ibu tunggal"

"Oh. InsyaAllah. Saya lapang je. Kalau nak nanti telefon"

Alhamdulilah.

Mulai hari tu setiap pagi saya ada kerja dah. Dengan kereta waja di belakang saya dulu ni.

Kadang ambil anak orang balik sekolah. Ambil isteri orang yang dari Kuala Lumpur balik ke Rawang. Kadang tengah malam ada penumpang komuter tiada teksi nak pulang, saya datang.

Dapatlah saya duit harian buat belian barang dan makanan anak isteri.

Rasa syukur jadi seorang lelaki yang bekerja.

Bila isteri minta belikan pampers susu, dan saya sudah tidak meminjam duit sahabat baik saya rasa bahagia sangat.

Ya. Bangga menjadi lelaki bertanggungjawab.

Buat semua yang juga sedang sibuk dan sudah ada perkerjaan, didoakan moga segala kerja yang dibuat akan berjalan lancar.

Jangan lupa pasang niat sebelum bekerja. Niat yang baik walaupun belum melakukannya,Tuhan dah pun bagi pahala. Baik Tuhan kan?

Yang masih belum ada kerja, yang masih mencari kerja, percayalah Allah selalu bersama kalian juga.

Buatlah apa saja asalkan jangan tinggalkan Tuhan. Apa saja kerja tidak ada masalah.

Sesiapa yang berusaha dan niatnya adalah untuk ahli keluarga pasti Tuhan kan mendorong dan di lorong ke arah itu juga.

Kita nak menjadi hamba Allah yang kayanya tidak melalaikan, miskinnya tidak menderitakan.

Begitulah ibu dan ayah serta guru saya mengajarkan.

Pakej kehidupan itu adalah nikmat dan ujian yang silih berganti.

Nikmat melatih rasa syukur. Ujian melatih rasa sabar.

Hugs.

Nota: Artikel asal ini ditulis oleh Abu Hurairah Roslan.

Seorang suami, ayah, penulis dan usahawan komputer sepenuh masa.

Abu Hurairah Resources
Lot 2-018A, 2nd Floor Plaza Low Yat KL.
G24 Ground Floor, Plaza Imbi KL.
10.00 pagi – 6.00 petang.
wasap.my/601157511494